“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”...(Ali 'Imran:110)
Sunday, March 20, 2011
MENGENALI RIBA, ELAK DOSA BESAR.
Faham Maksud Riba
Dari segi bahasa merujuk kepada lebihan, pertambahan dan perkembangan. Menurut istilah para fuqaha, riba ialah kontrak melibatkan pertukaran suatu barang tertentu. Namun ketika kontrak itu dilaksanakan, tidak diketahui atau tidak dipastikan persamaan pertukaran barangan, tidak dapat dipastikan sukatan dan timbangan barangan. Atau berlaku kelewatan dalam penyerahan barangan.
Mengenali Barangan Ada Unsur Riba
Barangan dikhususkan kepada harta atau barangan yang terdapat unsur-unsur riba sahaja.
Terdapat enam (6) barangan yang berunsur riba.
1.Emas
2.Perak
3.Gandum
4.Barli
5.Tamar
6.Garam
Ini berdasarkan dari sabda Nabi s.a.w,
“emas dengan emas adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, gandum dengan gandum adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil, barli dengan barli adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil dan tamar dengan tamar adalah riba kecuali secara ambil dengan ambil.”
[HR Bukhari dan Muslim]
Ayat “kecuali secara ambil dengan ambil” ialah bermaksud kedua-dua pihak melakukan pertukaran barangan dengan saling menghulurkan barang ketika berlakunya kontrak dan pembeli menerima barangan dalam majlis kontrak tersebut.
Apa yang Menyebabkan berlakunya Riba?
Kaedah menentukan barangan riba ialah mengkhususkan pada sebab (illah) yang menyebabkan sesuatu barangan itu menjadi riba. Oleh itu, barangan riba didalam hadis tidak mutlak kepada barangan itu sahaja, ia merangkumi semua barangn yang terdapat sebab(illah) yang sama.
Contohnya di dalam hadis menyatakan barangan riba adalah emas dan perak, ini menunjukkan secara khususnya sebab(illah) riba ialah barangan yang mempunyai unsur mata wang yang menjadi perantara kepada pertukaran membeli barangan jualan. Manakala gamdum, barli, tamar dan garam merupakan barangan makanan asas, ini menjadikan sebarang makanan yang menjadi makanan asasi sesuatu tempat boleh menjadi barangan riba.
Maka apabila sesuatu barangan ini menjadi barangan riba kerana terdapat penyebab menjadikan ia barangan riba, maka segala urusan dan pihak yang terlibat akan termasuk dalam riba.
Fahami Setiap jenis Riba
Riba terbahagi kepada empat(4) jenis seperti mana yang dibahagikan oleh para fuqaha. Tiga (3) jenis riba termasuk dalam kategori jual beli dan satu(1) jenis dalam kategori hutang.
1.Riba fadl
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis yang mempunyai unsur riba dan berlaku tambahan dari satu antara dua barangan jual beli.
i.Barangan jual beli terdapat unsur riba = garam ditukar dengan garam
ii.Berlaku pertukaran yang tidak sama timbangan(berlaku tambahan) = 10kg garam ditukarkan dengan 15kg garam.
iii.Kualiti antara barangan perlu sama dan berat timbangan perlu sama.
Rasulullah s.a.w bersabda,
“jangan menjual emas dengan emas kecuali sama dengan sama dan jangan melebihkan satu atas yang lain.”
[H.R al-Bukhari dan Muslim]
2.Riba Nasi’ah
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis dan tidak sama jenis tetapi mempunyai unsur riba serta berlaku pertangguhan dalam pertukaran barang.
i.Barangan jual beli terdapat unsur riba = sama jenis atau dari jenis yang berlainan.
Contoh: emas ditukar dengan emas, atau emas ditukar dengan perak.
ii.Berlaku penangguhan dalam pertukaran/penyerahan barangan, pertukaran berlaku selepas tempoh sehari atau beberapa hari.
3.Riba yad
Riba jenis ini terjadi apabila berlaku jual beli antara dua barangan sama jenis atau tidak sama jenis yang mempunyai unsur riba tetapi berlaku kelewatan dalam pertukaran barangan, iaitu pertukaran atau penyerahan barangan berlaku diluar majlis kontrak.
4.Riba Hutang
Riba hutang berlaku apabila melibatkan hutang. Apabila seseorang berhutang, ketika dia mahu melakukan pembayaran hutangnya, berlaku lebihan atau tambahan jumlah bayaran berbanding jumlah yang dipinjam.
Allah s.w.t berfirman,
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang Yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang Yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan Yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Dan jika orang Yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) Bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya Yang besar Yang kamu akan dapati kelak).”
[al-Baqarah: 278-280]
Sunday, March 13, 2011
SAHABAT YANG DICINTAI DAN MENCINTAI NABI S.A.W, SAIYIDINA BILAL BIN RABAH R.A
Sayyidina Bilal bin Rabah RA, sahabat Junjungan Nabi SAW yang terkenal menjadi muadzdzinnya baginda SAW. Beliau memiliki keutamaan yang tersendiri yang dipersaksikan oleh Junjungan Nabi SAW. Setelah wafat Junjungan Nabi SAW, Sayyidina Bilal telah pergi ke Syria untuk meneruskan dakwah dan jihadnya baginda Nabi SAW. Sayyidina Bilal RA tidak lagi melaungkan azan setelah kewafatan kekasihnya SAW sebagaimana sebelumnya, kerana setiap kali melaungkan nama Junjungan SAW, maka memuncaklah kerinduannya kepada baginda SAW. Diceritakan kali terakhir beliau melaungkan azan adalah atas permintaan Amirul Mukminin Sayyidina 'Umar RA ketika beliau melawat Syria. Tatkala Sayyidina Bilal RA melaungkan azan, jatuh berderai air mata para sahabat terutama sekali Sayyidina 'Umar kerana terkenangkan zaman hayatnya kekasih mereka SAW. Sayyidina Bilal RA terus berada di Syria sehingga akhir hayatnya dan di sanalah beliau disemadikan.
Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam "Jami'"nya di halaman 200 pada bab "fadhlith-thuhuri bil-laaili wan-nahaari wa fadhlish-sholaati ba'dal-wudhu-i bil-laaili wa an-nahaar," sebagai berikut:-
Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW pada suatu pagi setelah sholat fajar Junjungan Nabi SAW berkata kepada Sayyidina Bilal bin Rabah RA: "Ya Bilal, ceritakan kepadaku amalan yang paling engkau dambakan ganjarannya yang engkau amalkan dalam Islam, kerana sesungguhnya aku telah mendengar derapan alas kakimu di hadapanku dalam syurga." Lalu Sayyidina Bilal RA menjawab: " Tiada amalan yang paling kuharapkan ganjarannya selain bahawa tiada aku berwudhu` ketika malam dan siang melainkan aku sembahyang selepasnya dengan suatu sembahyang yang tidak menjadi kewajipanku (yakni sembahyang nafil)".
fakta yang disebut dalam hadits yang mulia tersebut, bahawa Junjungan Nabi SAW tahu dan kenal akan bunyi derap kasut atau alas kaki sahabat baginda, Sayyidina Bilal RA. Sungguh istimewa bersahabatkan manusia seumpama Junjungan Nabi SAW. Benarlah Junjungan Nabi SAW adalah manusia luar biasa pilihan yang Maha Esa. Lihat sahaja bagaimana baginda bersahabat, baginda adalah sahabat yang luar biasa lagi mengkagumkan serta menakjubkan orang-orang yang punya akal fikiran. Renungkanlah kisah tersebut. Jauh sungguh kualiti persahabatan kita dengan sahabat-sahabat kita berbandingkan persahabatan baginda. Kita jangan kata bunyi selipar, kekadang suara sahabat sendiri pun kita tak kenal. Ya kalau setakat kenal suara, itu biasa, tapi Junjungan Nabi bukan itu sahaja, derapan alas kaki sahabatnya pun baginda kenal.
Mudah-mudahan di akhirat nanti, dalam kita dijadikan dalam kalangan mereka-mereka yang bersama-sama dengan Junjungan SAW dalam syurga yang tertinggi, agar dapat juga kita menikmati nikmat berdamping dan bersahabat dengan sahabat yang paling agung, Junjungan Nabi SAW.
Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.com
SIAPAKAH GOLONGAN SALAFIYYAH?
Al-salafiah, jika dilihat dari segi bahasa ia menggambarkan suatu tempoh tertentu bagi zaman-zaman lalu. Ini bermakna zaman yang telah berlalu ia diistilahkan dengan salaf, manakala zaman selepasnya diistilahkan dengan khalaf iaitu zaman yang datang selepasnya yang telah meninggalkan zaman salaf.
“Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang Yang datang kemudian.”
[Al-Zukhruf: 56]
Secara umunya, perkataan salaf bukanlah memberi makna sesuatu yang terpuji, bagi menunjukkan generasi yang terpuji atau baik ialah dengan mengkhususkan perkataan salafussoleh.
Makna salafiyah dari segi istilah harus dilihat makna perkataan itu sendiri iaitu merujuk kepada tiga zaman pertama umur umat Islam iaitu bermula zaman Nabi s.a.w dan sahabat, kemudian zaman tabi’in dan zaman tabi’ tabi’in. ini berdalilkan dari sabda Rasulullah s.a.w diriwayatkan oleh Imam Buhkari dan Imam muslim dari Abdullah ibn Nas’ud.
”sebaik-baik golongan manusia ialah generasi yang sezaman denganku (para sahabat), kemudian geberasi selepas mereka (para tabi’in) dan kemudian diikuti oleh generasi selepas mereka pula (tabi’ tabi’in).”
Ibn Abdul bar r.a (323-463 H) menjelaskan bahawa makna salafiyah ialah khusus merujuk kepada golongan tertentu dari kalangan umat Islam pada ketiga-tiga zaman tersebut.
Imam Ibrahim al Baijuri mentakrifkan makna al-salaf dengan orang yang berada dalam 500 tahun (semenjak dari zaman Rasulullah s.a.w dan ada yang mengatakan pada tiga kurun pertama.” Gelaran terbaik untuk masyarakat Islam tiga zaman tersebut ialah kerana mereka merupakan pendukung syiar Islam. Mereka mendapat pedoman asli atau kefahaman yang jelas dari Nabi s.a.w tanpa dipengaruhi unsur-unsur lain. Fahaman atau warisan Islam mula dipengaruhi unsur-unsur lain bermula pada penghujung zaman ini, maka wujud pelbagai perkara bid’ah dalam agama. Munculnya golongan sesat yang memahami agama berpandukan apa yang mereka sangkakan benar padahal ia adalah bertentangan dengan jalan kebenaran.
“Dan Bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) Yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”.
[Al-An’aam: 153]
Sumber : Ustaz Salahuddin Azarai, "Siapakah sebenarnya al-Salafiyyah."
Saturday, March 5, 2011
TUAN GURU HAJI SALLEH MUSA AL-MAKKI SIK - PENGHORMATAN DARIKU KEPADA BELIAU
Terdetik hatiku ingin memberi penghormatan kepada Guruku dari kalangan Ulamak iaitu Tuan Guru Haji Salleh Musa al-Makki Sik. Penghormatan ini aku berikan melalui memperkenalkan beliau dengan segala maklumat yang aku ada dan dari sumber yang terhad. Dengan pertolongan dan Hidayah dari Allah s..w.t, maka aku menyiapkan usaha ini, semoga bermanfaat kepada diriku dan umat Rasulullah s.a.w. aku yang pernah bertalaqi hanya beberapa kali dengan beliau tapi menyedari ketinggian ilmu dan keberkatan beliau ketika di pondoknya iaitu Madrasah ar-Rahmaniah Sik, Kedah.
Beliau yang pernah belajar secara langsung dari Ulamak-ulamak terkenal di Mekah telah mendapat pelbagai sanad yang dekat dengan nabi Muhammad.
Beliau sentiasa diziarahi dari kalangan Ulamak antaranya dari dalam Negara, Indonesia, yaman, Mesir dan lain-lain tempat yang luar pengetahuanku.
Antara Tokoh Ulamak yang pernah menziarahi beliau dan kebanyakkan mereka adalah dari kalangan keturunan Saidina Nabi Muhammad s.a.w.
Al-Habib Musa al-Kazim bin Ja’far bin Muhammad as-Saggaf dari Yaman
Fadhilah Syeikh Mihammad Ibrahim Abd Ba'ith Al-Kittani Al-Husaini.
Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki
Sheikh Al-Habib Yusuf Al-Hasani
AL-HABIB ALI ZEINAL ABIDIN AL-HAMID
Habib Ahmad Al Habsyi -Jeddah
Beliau juga Aktif dalam aktiviti dalam membangunkan ummah, bayangkan umur beliau yang mencecah 84 tahun dengan kegigihan menyumbangkan bakti kepada umat nabi Muhammad.
Beliau turut menerima pelbagai anugerah dan gelaran dari masyarkat dan kerajaan. Sudah tentunya gelaran Ulamak adalah gelaran paling mulia disisi Allah.
Tn Guru Hj Salleh dinobatkan tokoh guru pondok peringkat negeri Kedah
Sedikit berkaitan latar belakang dan sejarah Beliau melalui biodata.
Nama :Tn Guru Hj Salleh bin Musa
Tarikh Lahir : 08.02.1929
Ayah: Tn Guru Hj Musa bin Salleh
Ibu:Khatijah bt Saad
Tempat lahir :Pekan Sik
Bil Adik beradik : 8 orang
Anak ke : 3
Pendidikan : - 1.Sek Rendah Keb Sik
(Dan ke Pondok Tn Hussin Kedah , kemudian ke Pondok Tn Guru Hj Mad Nawawi Gurun Kedah, ini kurang mashur kerana Tn Guru Sekejap sahaja disana )
2. Pondok Pak Chu Him Gajah Mati Pendang Kedah
,3.Darul Ulum Makkah dan menamatkan sijil kepujian Aliy '
4. Kemudian mendalami ilmu di Masjidil Haram Makkah bersama syeikh-syeikh terkemuka diantaranya Syeikh Ismail Fatani , Syeikh Yassin Al Fadani , Syeikh Abd Qadir Mandili , Syeikh Syed Alawi Al Malikki , Syeikh Syed Amin Qutubi dan syeikh muktabar lain .
Berkahwin dengan Hj Hatiah bt Hanafi
Mendapat 2 orang cahaya mata semasa berlajar di Makkah .
Tn Guru memiliki 11 orang cahaya mata semuanya .
Kini isteri beliau sudah meninggal dunia dan Tn Guru sekali lagi berkahwin dengan Hj Sofiah bt Hj Awang
Tahun 1964 Tn Guru pulang ke Tanah air dan terus berkhidmat membantu mengajar di pondok ayah beliau di Pekan Sik .
Tn Guru menggantikan ayah beliau sebagai mudir Madrasah Ar Rahmaniah hingga sekarang .
Sekarang Tn Guru dibantu oleh anak belaiu Syeikh Muslim sebagai Tim Mudir .
Tn Guru menumpukan dakwah sepenuh masa di Pondok hingga sekarang dan beliau menyampaikan dakwah di setiap daerah di sekitar negeri Kedah Darul Aman .
KDYMM Sultan Kedah telah anugerahkan beberapa pingat kebesaran , diantaranya
B.K.M , S.D.K dan Tokoh Pendakwah Negeri Kedah tahun 2009
Pada tahun 2010 MB Kedah YAB Ust Azizan Abd Razak meanugerahkan Tokoh Pondok Negeri Kedah
SEKARANG ULAMA ARAB TERUTAMNYA YAMAN ,INDONESIA JORDaN , MESIR SERING MENZIARAHI TUAN GURU KERANA TN GURU MERUPAKAN ULAMA YANG SEMPAT MENDALAMI ILMU DENGAN ULAMA MUKTABAR MASJIDIL HARAM MAKKAH SATU KETIKA DULU.
Sumber Utama : http://pondoktauhid.blogspot.com/
Friday, March 4, 2011
BETUL LA AKU BUAT..!! HAKIKATNYA SALAH...!
“Ya Allah tunjukkanlah kepada kami perkara yang benar itu adalah benar dan pandulah kami supaya mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami perkara yang batil itu adalah batil supaya kami meninggalkannya.”
Mengapa perlu meminta-minta, memohon dan berdoa? Ini adalah kerana tiada yang lain selain Allah yang berupaya memberi petunjuk kepada kita. Apabila Allah dengan sifat rahmat-Nya memberikan hidayah-Nya kepada seseorang, maka akan terpancarlah Nur Hidayah hingga ke setiap sudut penjuru hatinya dan menerangi kegelapan dalam hati.
Mengapa kita perlu merayu-rayu dan memohon-mohon dari Allah? Ini kerana, demikianlah sifat seorang hamba kepada Tuannya, sifat hamba kepada penciptanya. Sesungguhnya Allah suka akan hambanya yang selalu merayu, meminta-minta n memohon dari-Nya.
Allah juga sangat suka kepada hamba-Nya yang meluahkan isi hati kepada-Nya, bukannya Allah tidak tahu apa yang ada dalam hati kita, tapi Dia mencipta kita untuk kita menyembah-Nya, oleh kerana itu Allah menyukai hamba-Nya yang meluahkan isi hati kepada-Nya. Tatkala diwaktu kita bersembahyang, maka kita berdialog dengan Allah, dan waktu kita berdoa kita meluahkan rasa hati dan menyatakan hajat. Ini adalah sebagai tanda kita mengingati Allah dan yakin Allah adalah sebaik-baik tempat kita bergantung dan berlindung.
Tiadalah yang dapat menunaikan hajat kita kecuali Allah. Ada dari kalangan makhluk yang memberi pertolongan dan memenuhi hajat kita, tetapi hakikatnya Allah yang menggerakkan makhluk lain supaya menolong dan memenuhi hajat kita. Allah juga yang membolehkan kita bergerak kesana kemari bagi melakukan aktiviti harian, Allah telah meletakkan kudrat, kemampuan dan kelebihan dalam jasad kita. Oleh itu, harapan kita hanya disandarkan kepada Allah, rabbul izzati.
Seiring dengan doa kita didalam surah al-fatihah, dalam ayat 6 dan 7, “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni'mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”.
Ya Allah, tunjukkan kepada kami jalan yang benar itu adalah benar, bermakna jalan yang akan ditempuhi mestilah perlu diyakini dan dipastikan ia adlah jalan kebenaran. Kadang kala kita merasakan apa yang lakukan kita merasakan ia adalah perkara yang benar, tapi pada hakikatnya dari segi syariat ia bertentangan sama sekali, jika tidak pn ia mungkin masih blum bertepatan dengan sunnah.
Dalam kaedah fiqh ada menyatakan, sesuatu matlamat tidak akan menghalalkan cara dan apa jua kaedah yang digunakan jika cara dan kaedah itu bertentangan dengan syariat islam. Demi mencapai matlamat untuk menegakkan syariat tetapi malangnya kita
menggunakan kaedah yang salah. Terdapat golongan yang ingin mencapai matlamat supaya dapat mendekatkan diri dengan Allah, tetapi menggunakan kaedah dan cara yang terkeluar dari ruh al-Quran dan hadis. Maka muncullah aliran-aliran tarekat dan kumpulan sufi yang sesat dengan melakukan perkara dan berkeyakinan dengan iktiqad yang menyimpang, sehinggakan ada yang mengaku dirinya Nabi, Imam Mahadi dan mendakwa dia boleh berjumpa dengan Allah.
Golongan yang lain pula, dengan melakukan sebahagian kebaikkan, mewujudkan keamanan dan kesengan kepada orang lain maka dia merasakan dia telah berada dalam kebenaran dan terselamat dari azab Allah walau dia melakukan kezaliman.
Terdapat juga golongan yang berpendapat mereka sahaja yang berada di jalan kebenaran dan orang lain berada dalam kebathilan dan kesesetan. Penyakit hati seperti sombong menjadi punca wujudnya keadaan ini. Terutama orang-orang yang diberikan kelebihan dari segi ilmu dan pencapaian, mereka mula berasa sombong dan mendabik dada mengatakan merekalah yang benar dan menyalahkan orang lain. Nabi Muhammad pernah bersabda bermaksud, kelak diakhir zaman orang akan menyalah-nyalahkan orang-orang terdahulu.
Panjatlah doa kepada Allah agar memberi kita hidayah supaya kita tidak berada dalam jalan yang bathil untuk perkara yang kita rasakan benar.
Kadang kala kita melihat sesuatu perkara kita berpendapt ia adlah salah, tetapi pada hakikatnya ia adlah betul. Begitulah yang akan berlaku diakhir zaman seperti mana yang telah digambarkan oleh junjunagn besar kita Nabi muammad s.a.w bahawa di akhir zaman kelak perkara-perkara kebaikkan dilihat sebagai suatu yang buruk dan perkara-perkara keburukan dilihat sebagai suatu perkara yang baik. Orang-orang yang jahil pula diangkat menjadi pemimpin bagi memimpin masyarakat maka sesatlah kebanyakkan manusia. Manakala orang alim pula disingkirkan dan tidak mendapat tempat dalam masyarakat, maka terkuburlah ilmunya.
Berdoalah Allah memberi hidayah-Nya kepada kita serta melimpahkan rahmat-Nya sebanyak-banyaknya kepada kita semua. Insya Allah…
Wednesday, March 2, 2011
PELBAGAI CARA MENCUCIKAN DIRI DAN HARTA MELALUI PENSYARIATAN JENIS-JENIS ZAKAT
Zakat terbahagi kepada dua
i. Zakat nafs (jiwa), juga disebut zakat Fitrah
ii. Zakat maal (Harta)
Zakat Fitrah
Pembayaran zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadhan bermula pada 1 Ramadhan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri. Zakat Fitrah wajib dikeluarkan dengan kadar yang tertentu daripada makanan asasi dengan sebab jatuhnya matahari pada akhir Ramadhan dengan syarat yang tertentu, firman Allah Taala.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang berusaha membersihkan diri (mengeluarkan fitrah) dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama tuhan (ucap takbir) serta mengerjakan sembahyang.”
Surah Al A'laa : 14-15
Kata Abdullah bin Omar, “Bahawasanya Rasulullah mewajibkan Zakat Fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia satu gantang tamar, atau syair, ke atas tiap-tiap orang merdeka, hamba, lelaki atau perempuan dari kalangan orang Islam.
[H.R. Bukhari dan Muslim}
Zakat Harta
Zakat harta boleh ditunaikan pada bila-bila masa, setelah cukup nisab dan cukup haul. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari keseluruhan jumlah harta. Secara umumnya zakat harta terdiri dari Naqdan iaitu matawang, binatang ternakkan, tanaman dan buah-buahan, barang-barang perniagaan, barang-barang galian dan rikaz, Al-khalitain dan zakat hutang.
i. Naqdaan (matawang)
Harta ini adalah dari emas dan perak sama ada telah dicetak menjadi matawang atau dalam bentuk ketulan emas. Termasuk juga dalam kategori ini ialah saham-saham yang mempunyai jaminan tetap yang disandarkan nilainya kepada emas atau perak. Dalilnya adalah firman Allah taala.
“Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai Dengan cara Yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang Yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka Dengan (balasan) azab seksa Yang tidak terperi sakitnya”.
(At-Taubah:34)
ii. Binatang Ternakan
Binatang ternakan adalah termasuk unta, lembu atau kerbau dan kambing.
iii. Tanaman dan Buah-buahan
Tanaman dan buah-buahan yang dikenakan zakat hanyalah tanaman dan buah yang menjadi makanan asasi manusia di kawasan tertentu berdasarkan kebiasaan. Tanaman dan buah-buahan tersebut mestilah dari jenis yang boleh disimpan dan tahan lama. Di antara tanaman yang dikenakan zakat ialah biji gandum, barli, beras, kacang, jagung dan sebagainya. Di antara buah-buahan pula ialah kurma dan anggur kering.
iv. Barang-barang Perniagaan
Perniagaan ialah suatu aktiviti pertukaran harta dengan barang tertentu dengan tujuan untuk mendapatkan untung.
v. Barang-barang Galian dan Rikaz
Barang-barang galian dan Rikaz ialah emas dan perak yang dikeluarkan dari perut bumi. Barang galian ialah benda yang dikeluarkan dari perut bumi dan kemudian diproses. Barang rikaz ialah barang yang terpendam di dalam perut bumi sejak sebelum munculnya Islam.
vi. Zakat Al-Khalitain
Al-Khalitain ialah dua harta zakat yang telah bercampur dan dimiliki oleh dua orang dengan tujuan melakukan perkongsian atau seumpamanya.
vii. Zakat Hutang
Zakat hutang ialah zakat yang dikenakan keatas harta yang berada di dalam keadaan berhutang. Zakat hutang dikenakan keatas pemberi hutang apabila pemberi hutang mampu mengambil kembali semua jumlah hutang yang diberikannya apabila telah sampai tempoh pembayaran dalam keadaan orang yang berhutang telah mampu untuk membayar hutangnya. Zakat tetap dikenakan walau bayaran hutang masih belum dijelaskan. Zakat dikenakan apabila jumlah hutang itu telah cukup nisabnya setelah dicampur dengan harta yang ada disisinya serta telah berlalunya haul.
Labels:
zakat
Subscribe to:
Posts (Atom)