Saturday, October 9, 2010

Pandangan Ulamak secara 'mujamalah' (Kelihatan menyokong tetapi menyanggah hampir kesemua pandangan) terhadap Sheikh Muhammad Abd al Wahhab


Dr. Wahbah Al-Zuhayli

Terdapat ramai ulama yang menggunakan 'konsep mujamalah'. Mereka memuji Sheikh Muhammad Abd al Wahhab sebagai al-muslih secara nyata, namun kemudian mereka menghuraikan kebatilan pandangan tersebut satu persatu. Antara Ulama yang menggunakan uslub ini ialah Prof Dr Whabah Zuhayli dalam kitabnya al-Bida' al-Munkarah. 

Beliau berkata:

Bermaksud: "Sesungguhnya aku semenjak dahulu bersama-sama pembawaan ulama Ahlussunnah seperti al-Imam al-Nawawi dan selainnya. Antaranya 'islah-islah' seorang Muslih iaitu Muhammad bin Abd al-Wahhab Rahimahullah, untuk menghalang antara 'kesesatan' dan 'orang-orang awam' yang mengamalkan bentuk ibadah yang ganjil. Atau keluar daripada mereka perkataan yang tidak benar dan tidak sepatutnya, seperti meminta dari jenazah orang-orang Soleh dan wali-wali samada untuk memenuhi hajat atau menghalang bahaya…."

Beliau berkata lagi:

Bermaksud: "Sesungguhnya aku bersama-sama al-Salafiyyah pada mensucikan Allah Taala, namun bukanlah aku bersama-sama dengan seseorang yang menggunakan cara yang menyebabkan masyarakat lari, atau cepat membuat tuduhan kafir, sesat, atau menggelarkan seseorang dengan quburi (penyembah kubur) apabila dia menziarahi kubur,walhal amalan tersebut merupakan sunnah yang thabit."

Beliau berkata lagi:

Bermaksud: "Sesiapa yang mentakwilkan sebahagian sifat-sifat Allah, tidak kufur seperti mentakwilkan 'wajhullah', kerana ia adalah 'kinayah' atau 'majaz' terhadap Allah SWT. Itu adalah uslub bahara Arab yang terkenal. Maka ditakwilkan 'al-yad' dengan 'al-qudrah', dan selainnya yang aqal boleh menerimanya, kerana kesemua al-Salaf dan al-Khalaf mensucikan Pencipta (al-Khaliq) dari menyerupai perkara baharu. Walaupun yang paling selamat ialah berimannya dengan asma' Allah Taala al-husna tanpa tasybih, tanpa ta'til dan tanpa ta'wil."

Selepas itu, beliau membahaskan satu persatu isu yang dikatakan bid'ah dan di bawah ini ringkasan pandangannya:

Takwil sifat Allah SWT
Mazhab al-Salaf: Mengithbatkan sifat al-Bari (Allah SWT) dengan makna yang layak dengan Zat-Nya Taala, maka kita beriman dengan nama-nama Allah dan sifat-sifat al-husna tersebut mengikut kehendak Allah SWT. Dan tafwidhkan (serahkan) bagaimana (kaifiah) kepada Allah SWT. 

Mazhab al-Khalaf: Mentakwilkan sifat-sifat ini mengikut apa yang layak untuk kesempurnaan Allah SWT, dan ini lebih benar dan lebih tetap secara aqalnya. 

Kedua-dua kumpulan bersepakat pada mensucikan Allah SWT dari menyerupai makhluk, atau dari tasybih, atau dari al-kaif dan dari tajsim: Mazhab yang haq ialah bertauhid tanpa tasybih dan tajsim. Tidak berlebihlebihan pada takwil, kerana ia boleh membawa kepada ta'til, dan tidak berlebih-lebihan pada menetapkan makna zahir, kerana ia boleh membawa kepada tajsim. Dan pertengahan pada perkara tersebut ialah mengiqrarkan sifat dengan berkeyakinan pada nya hanya Allah sahaja yang mengetahui berserta mensucikan keyakinan kita dari tasybih dan ta'til. Maka inilah mazhab al-Salah, maka jadilah khilaf (dengan khalaf) secara lafzi zahaja

Penambahan dalam Tasauf 
Orang-orang Tasauf yang ikhlas mementingkan zikrullah sama ada secara senyap mahupun jahar. Tidak ada halangan pada perkara tersebut kerana para ulama Islam menetapkan kelebihan zikir secara al-jahr sekiranya tiada riyak. Atau mengacau orang yang bersolat, atau orang yang tidur. Sekiranya orang tasauf itu beriltizam dengan al-Quran dan sunnah, maka tidak dibantah ke atas mereka. 

Namun apabila sebahagian mereka berlebih-lebihan (ghuluw), dengan mengatakan wehdah al-wujud (al-hulul atau al-ilhad), iaitu Allah Taala telah menjelma pada setiap bahagian ala mini, atau dengan makna 'makhluk itulah al-khaliq', atau tenggelam dalam sebahagian 'kegelinciran yang menyebabkan kekufuran' seperti 'Dia adalah Allah atau al-haq', atau 'memburukkan pegangan tauhid', atau mengatakan 'diangkat perkara fardhu darinya', maka ini, tanpa ragu-ragu, adalah sesat dan kufur nyata, bertentangan dengan aqidah umat Islam.

Menyeru /Istighathat
Tidak boleh beristighathat dengan orang yang telah mati atau yang tiada di sisi.

Tabarruk dengan para orang-orang Soleh ketika mereka hidup
Tidak ada halangan bertabarruk dengan orang soleh dengan meminta doa atau berubat, namun ulama khilaf pada perkara 'bertabarruk' pada 'individu orang-orang soleh (sentuhan dan sebagainya), dan tidaklah ianya dari perkara 'bid'ah munkarah'

Baca 'basmalah' dengan 'jahar'.
Perkara khilaf dan bukan bid'ah Munkarah

Qunut solat subuh
Tidak betul mengatakannya 'bid'ah'.

Mayat mendapat faedah dari bacaan al-Quran
Mayat mendapat faedah dari bacaan orang lain.

Bertawassul dengan Nabi SAW
Membenarkan tawassul dengan Nabi SAW secara umum (ketika hidup dan mati).

Menziarahi kubur Nabi SAW
Ini masalah khilafiah, tidak boleh digelar sebagai bid'ah. Jumhur ulama membenarkan kecuali Ibn Taymiyyah.

Berdoa secara berjemaah, dan majlis zikir.
Tidak boleh mengatakan bid'ah pada zikir berjemaah selepas solat di masjid dan selainnya. Yang haqnya meninggikan suara dengan berzikir dalam keadaan tidak mendatangkan 'kekacauan/ keraguan, maka berhalaqah untuk zikir adalah tidak salah.

Sumber: Dr. Asmadi Mohamed Naim Profesor Madya Universiti Utara Malaysia, Wacana Religio-Intelektual Najdiyyin; Sumber kajian beliau: Al-Zuhayli, Wahbah (1999). Al-Bida' al-Munkarah, Damsyik: Dal al Maktabi, dan lain-lain.

Sebarang Kesilapan, sila rujuk artikel asal…

No comments: