بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه و آله و سلم قال (أفضل الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر) رواه أبو داود والترمذي و قال حديث حسن
Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik jihad ialah menyatakan
(perkataan yang adil (benar) dihadapan pemimpin yang zalim.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)
Muncul Dari Iman Yang Mantap
Seseorang yang mempunyai keimanan yang mantap akan mempunyai keberanian untuk menyampaikan perkataan yang benar di hadapan seorang pemimpin atau penguasa yang zalim. Keyakinan dan keberanian ini ada di dalam hatinya kerana dia telah menjual dirinya untuk Allah dan dia lebih mengutamakan hak Allah berbanding hak dirinya. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ
"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta mereka dengan"
(balasan) bahawa bagi mereka syurga." (At-Taubah: 111)
Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Menyatakan kebenaran adalah termasuk dalam Amar ma’ruf nahi munkar, oleh itu ia juga adalah salah satu dari bentuk jihad. Mengajak orang lain untuk beramal soleh dan melarang dari melakukan kemungkaran juga akan mendapatkan pahala jihad. Dan Amar Ma’ruf Nahi Munkar di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih afdhol kerana ia memberi impak yang lebih kuat, dan juga kerana berdepan dengan risiko dan mudharat.
Lakukan Dengan Berhikmah
Namun, cara menyatakan kebenaran itu mestilah dengan berhikmah. Nasihat secara individu, bertemu mata dan melakukannya secara rahsia adalah lebih baik dan lebih diutamakan. Allah Swt berfirman:
“Serulah kepada manusia pada jalan Allah dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pelajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik dengan cara yang paling baik.” (an-Nahl: 125) "...Dan jika kamu bersabar, itu adalah lebih baik." (an-Nahl: 126)
kaedah ini di ajarkan oleh Nabi SAW dan juga para Nabi terdahulu. Nabi Allah Musa dan adiknya Nabi Allah Harun menyampaikan dakwah, mencegah kemungkaran dan kezaliman Firaun yang merupakan seorang raja yang paling zalim. Namun demikian Allah menyuruh Nabi Musa agar menyeru secara hikmah. Firman Allah SWT:
“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya(Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut” (Taaha:44)
Menasihati secara sembunyi maka ia adalah nasihat yang benar dan secara tidak langsung menghormati dan menghargai orang yang dinasihatinya itu. Menegur secara terang-terangan bererti dia telah menghina orang yang mahu dinasihatinya”
Jihad Paling Afdhol Bukannya Dengan Perang
Dalam riwayat Imam Nasai: Suatu ketika saat hampir terjadinya peperangan ada seorang menghampiri Rasulullah lalu bertanya, "wahai Rasululullah, apakah jihad yang paling afdhal? Rasulullah SAW menjawab: "Jihad yang paling utama ialah menyampaikan kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim."
Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa jihad yang paling utama bukannya perang, ini kerana soalan sahabat dan jawapan Nabi S.A.W ini adalah saat hampir bermulanya peperangan namun Nabi saw tidak menjawab perang sebagai jihad yang paling afdhol.
Pelbagai Bentuk Jihad
Jihad mempunyai pelbagai bentuk, antaranya ialah bangun malam untuk bertahajjud, puasa sunat, dan membantu orang tua. Setelah perang tamat Nabi SAW bersabda:
"kita baru pulang dari medan perang yang kecil menuju jihad yang besar. Lalu sahabat bertanya apakah jihad yang besar? Nabi SAW menjawab: "Jihad melawan hawa nafsu." (HR Al-Baihaqi)
أَفْضَلُ الْجِهَادِ أَنْ يُجَاهَدَ الرَّجُلُ نَفْسَهَ وَ هَوَاهُ
".Jihad yang paling utama adalah seseorang berjihad berjuang melawan dirinya dan hawa nafsunya" (HR Abu Nu’aim dan ad-Daimal)
Daripada Abu Said al-Khudri RA, seorang lelaki bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama? jawab Baginda SAW, “Iaitu orang Mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri di jalan Allah”. Lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapakah lagi? Baginda menjawab, “yang mengasingkan dirinya di lereng-lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhan-Nya". Dalam satu riwayat yang lain, "...iaitu orang yang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan diri) daripada orang yang melakukan kejahatannya." (HR al-Bukhari dan Muslim)
Dapat kita fahami bahawa melawan nafsu dan sentiasa berusaha memperbaiki diri untuk bertaqwa kepada Allah SWT serta membelanjakan harta ke jalan yang diredhai Allah juga termasuk dalam kategori jihad.
Menyatakan kebenaran Dengan Cara Demontrasi
Dalam hal berkaitan demontrasi ada 3 pandangan. Pertama adalah pandangan Imam ibnu Abbas dan Imam ibnu Mas’ud. Mereka berpendapat bahawa menyampaikan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim menjadi afdhol jika merasa aman dan terhindar dari mudharat.
Keduanya ialah pandangan Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnul Khattab dan Imam Ibnu Ka’ab, mereka berpendapat bahawa wajib meluruskan kemungkaran dengan apa cara sekali pun.
Dan pendapat yang ketiga ialah cukup dengan mengingkari kemungkaran pemimpin yang zalim dengan hati dan berdoa.
Pertimbangkan Kesannya
Dalam Al-Qur’an ada menceritakan tentang Ashabul Ukhdud (Raja Zalim yang membuat parit), rakyatnya menyampaikan kebenaran di depan sang Raja yang zalim dalam keadaan mereka yakin mereka akan di bunuh. Akhirnya mereka dibunuh dengan dicampakkan ke dalam parit yang berapi.
Dalam surah Al-Kahfi, diceritakan tentang Ashabul Kahfi. Mereka juga menentang Raja yang zalim dan kemudian melarikan diri dan ditidurkan oleh Allah di dalam sebuah gua.
Dakwah mempunyai pelbagai cara, ketika kita menyampaikan kebenaran di hadapan seorang pemimpin yang zalim, terlebih dahulu pertimbangkan kesannya sama ada membawa kebaikan atau keburukan.
Sumber: http://www.majelisrasulullah.org; Qutuful Falihin min Riyadhus Sholihin yang dirangkum, Sayyidil Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidh; Habib Alwi bin Abduraahman Al-Habsyi