Memberikan hadiah, ziarah menziarahi dan mengucapkan tahniah kepada
orang bukan Islam adalah termasuk dalam kategori ihsan (berbuat kebaikan). Allah
menyuruh kita bercakap dengan baik dan memerintahkan kita agar sentiasa berbuat
baik kepada semua orang tanpa ada perbezaan. firman Allah:“dan katakanlah
kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.” (al-Baqarah: 83).
Firman Allah: “sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”
(an-Nahl: 90)
Allah subhanahu wata’ala juga tidak menegah kita dari melakukan kebaikan
kepada orang bukan Islam, menghubungkan tali persahabatan atau memberi dan menerima
hadiah daripada mereka. Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada
berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi
kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung
halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil.” (al-Mumtahanah: 8)
Telah tsabit dalam hadis-hadis sohih yang membawa kepada taraf
mutawatir bahawa Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam menerima hadiah daripada
orang bukan Islam, dalam sebuah hadis menceritakan yang bermaksud: “Rasulullah
Solla Allahu a’laihi wasallam telah mengutus Hathib ibn Balta’ah bersama
sepucuk surat kepada raja al-Muqauqis pemerintah Iskandariah, maka diterima
suratnya dan Hathib disambut sebagai tetamu dengan baik dan diberikan
penghormatan. Kemudian beliau mengutuskan surat kepada Rasulullah Solla Allahu
a’laihi wasallam dengan diberikan bersamanya hadiah yang berupa pakaian, seekor
keldai dengan pelananya, dan dua orang hamba perempuan.”
Demikian juga hadis yang meriwayatkan kisah pengislaman Sulaiman
al-Farisi r.a. Salman al-Farisi telah datang berjumpa dengan Nabi Solla Allahu
a’laihi wasallam ketika beliau berkunjung ke Madinah dengan membawa hidangan
yang di dalamnya terdapat buah kurma lalu diletakkannya di hadapan Nabi Solla
Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah bertanya: “apa ini wahai Salman?” Jawabnya:
“Sedekah untukmu dan para sahabatmu”. Nabi bersabda: “Ambil buah ini,
kerana kami tidak makan daripada hasil sedekah”. Lalu buah itu dibawa pergi
olehnya. Pada keesokan harinya, Salman datang lagi dengan membawa buah kurma
lalu diletakkannya di hadapan Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah
bertanya lagi: “apa ini wahai Salman?” Jawabnya: “Sedekah untukmu dan
para sahabatmu”. Nabi bersabda: “Ambil buah ini kerana kami tidak makan
daripada hasil sedekah”. Lalu buah itu dibawa pergi olehnya. Pada hari ketiga,
Salman datang lagi dengan membawa buah kurma lalu diletakkannya di hadapan Nabi
Solla Allahu a’laihi wasallam. Rasulullah bertanya lagi: “apa ini wahai Salman?”
Jawabnya: “Hadiah untukmu dan para sahabatmu.” Nabi bersabda: “Makanlah.”
Al-hafiz al-Iraqi mengulas tentang hadis tersebut, katanya: “Dalam
hadis ini Baginda menerima hadiah daripada orang yang kafir, ini kerana Salman
masih belum memeluk Islam ketika itu. Beliau memeluk Islam setelah mengetahui
tiga tanda daripada tanda-tanda kenabian, iaitu tidak menerima sedekah dan
hanya mengambil hadiah dan tanda khatam an-nubuwwah yang ada pada Nabi. Beliau melihat
tanda Baginda sebagai khatam an-nubuwah selepas baginda menerima hadiah yang
diberikannya.” (Tharnu at-Tathrib oleh al-Hafiz al-Iraqi, 4/35-36).
Telah diriwayatkan daripada Ali ibn Abi Talib r.a. katanya yang
bermaksud: “Raja Kisra telah menghadiahkan sesuatu kepada Rasulullah Solla
Allahu a’laihi wasallam, Baginda menerima hadiah tersebut, baginda juga menerima
hadiah pemberian daripada Raja Qishar dan raja-raja yang lain.”
Oleh itu, menerima hadiah itu harus di sisi syarak, malahan ia
merupakan sunnah Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam, malahan juga ia menjadi
tanda kenabian baginda yang paling jelas dan disunatkan kerana termasuk dalam
kategori ihsan (berbuat baik). Syeikh Zakaria al-Ansori berkata: “Harus
menerima hadiah daripada orang kafir kerana mengikut sunnah.”
Pemahaman ini telah disokong oleh as-Sarakhsi, beliau menyebutkan
daripada Abi Marwan al-Khuza’i katanya: “Aku bertanya kepada Mujahid, adakah
seorang lelaki yang belum memeluk Islam mempunyai hubungan kerabat denganku,
dan dia mempunyai sebahagian daripada hartaku, adakah boleh aku serahkan
kepadanya? Jawab Mujahid: “Ya, sambungkanlah silaturrahim dengannya.”
Berdasarkan riwayat ini dapat kita fahami bahawa tidak mengapa
menjalinkan hubungan antara seorang muslim dengan orang yang bukan muslim sama
ada mempunyai hubungan keluarga jauh atau dekat, kafir harbi atau kafir zimmi.
Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik
dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (al-Mumtahanah:8)
Berdasarkan ayat di atas Ibn al-Jauzi mengatakan ulama-ulama tafsir
berkata: “Ayat ini merupakan ruhshah bagi menghubungkan silaturrahim kepada
mereka yang tidak memerangi orang Islam dan harus berbuat baik kepada mereka sekalipun
mereka tidak boleh menjadi wali dan menerima pusaka.”
Demikian juga al-Mardawi al-Hanbali menyebutkan mengenai hukum mengucapkan
tahniah kepada orang bukan Islam, mengucapkan takziah kepada mereka dan menziarahi
ketika sakit. Katanya: “Mengenai ucapan tahniah, ta’ziah dan menziarahi mereka
semasa sakit ada dua riwayat yang telah disebutkan dalam kitab al-Hidayah…..pendapat
ulama yang mengatakan mereka diziarahi untuk masuk Islam, kata al-Mardawi lagi:
inilah yang sebetulnya.”
Telah disebut di dalam kitab fatwa al-Hindiah: Tidak mengapa untuk
pergi menziarahi kafir zimmi, demikian dikatakan oleh Muhammad r.h tambahnya: Tidak
mengapa menerima tetamu daripada orang kafir zimmi sekalipun hanya setakat
kenalan sahaja, demikian yang disebutkan dalam kitab al-Multaqith, kemudian
tambahnya lagi: Tidak mengapa orang Islam bersahabat dengan orang bukan Islam
sama ada kenalan jauh atau rapat, kafir harbi atau zimmi.
Syeikh ‘Ulaisy ditanya mengenai mengucapkan tahniah kepada orang
bukan Islam adakah ia dianggap sebagai murtad? dijawabnya: “Tidak menjadi
murtad orang yang berkata kepada seorang Kristian, semoga Allah panjangkan
umurmu setiap tahun, dengan sekira-kira bukan bertujuan untuk mengagungkan
kekufurannya dan bukan kerana redha dengan kekufurannya.”
Daripada apa yang telah dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis
Nabi Solla Allahu a’laihi wasallam dan pendapat para ulama Islam, kita dapati
bahawa termasuk di dalam ihsan kepada orang lain ialah menghubungkan
silaturrahim dengan orang bukan Islam dalam semua keadaan seperti menziarahi
bila sakit, ucapan takziah bila mendapat kesusahan dan ucapan tahniah bila
mendapat kejayaan, memberi hadiah dan menerima hadiah, menerima tetamu dan
sebagainya. cara ini merupakan satu pendekatan berdakwah kepada agama Allah
dengan akhlak yang baik dan budi pekerti yang mulia. Wallahu a’lam.
Sumber: ‘Penjelasan mengenai
persoalan yang menganggu pemikiran’; Syeikh Dr. Ali Jumaat, terjemahan al-Fadhil Ustaz Haji Jainal Sakiban al-Jauhari, terbitan Majlis Agama Islam Johor