Tuesday, June 3, 2014

TIGA BULAN YANG MENGUNTUNGKAN


Daripada Uthman bin hakim al-Ansari, beliau(Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubair tentang puasa rejab. Said menjawab: “Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: “Adalah Rasulullah saw berpuasa (Rejab) sehingga kami menyangka Baginda saw tidak berbuka (berterusan) dan Baginda saw berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (HR. Muslim)

Imam Nawawi menyatakan bahawa, apa yang zahir dari ucapan Said bin Jubair itu menjadi bukti bahawa tiada tegahan berpuasa padanya(rejab) kerana bulan berkenaan. Tidak ada larangan (thabit) untuk melakukan ibadat puasa pada bulan rejab, dan tidak pula sunat kerana bulannya. Yang di sunatkan adalah kerana kesunnahan ibadat puasa itu.

Daripada Atha’, Urwah bin Zubair bertanya kepada Abdullah bin Umar: “Adakah Rasulullah saw berpuasa bulan Rejab?” Beliau menjawab: “Ya, dan Baginda saw melebihkannya.” Kemudian Ibnu Umar mengulangnya sebanyak tiga kali.
(HR. Abu Dawud dan lain-lainnya)

Daripada Usamah bin Zaid berkata: Aku bertnya: “Wahai Rasulullah, saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti mana Tuan berpuasa pada bulan sya’aban?” Baginda saw menjawab: “Itulah bulan (Bulan sya’ban) yang lalai manusia daripadanya yang berada diantara Rejab dan Ramadhan. Dan ialah bulan(Sya’ban) yang diangkat dalamnya semua amal ke hadrat Rabbil ‘alamiin. Dan aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa.”
(HR. an-Nasa’i dan disohihkan oleh Ibnu Khuzaimah)

Dapat difahami dari hadis ini bahawa ramai orang sibuk dengan ibadat pada bulan Rejab dan Ramadhan sehingga kadang-kadang terlupa bulan Sya’aban. Ini menunjukkan bulan Rejab, Sya’aban dan Ramadhan telah menjadi bulan yang diperbanyakkan amalan.

HUKUM MEMPERINGATI PERISTIWA ISRAK DAN MI’RAJ



Pada setiap tahun kita khususnya masyarakat Malaysia memperingati peristiwa Israk dan Mi’raj dengan aktiviti ceramah, forum, dan lain-lain program. Malah ia dibenarkan tanpa bantahan dari Ulamak muktabar. Jika usaha ini tidak diteruskan maka generasi akan datang akan mula lupa dan lalai dari peristiwa yang besar ini malah mungkin mereka mula meragui dan tidak meyakini peristiwa ini berlaku.

Memperingati peristiwa ini adalah sebagai tanda mensyukuri nikmat dan anugerah yang Allah berikan. Peristiwa yang besar ini berlaku dengan ketentuan dari Allah Ta’ala sudah semestinya mempunyai makna yang mendalam dan penting untuk diingati dan diamati oleh ummat ini.

Memperingati peristiwa Israk dan Mi’raj matlamatnya adalah sama dengan menyambut peristiwa besar dalam Islam yang lain seperti menyambut peristiwa kelahiran baginda Nabi saw.

Allah berfirman:
“Dan Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa Yang lalu) Dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah Engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka Dengan hari-hari Allah. "Sesungguhnya Yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda Yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang Yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.” (Surah Ibrahim: 5)

Apa yang dimaksudkan dengan “hari-hari Allah” pada ayat di atas adalah peristiwa yang terjadi pada kaum-kaum terdahulu serta nikmat dan seksa yang dialami oleh mereka. Allah Ta’ala menyuruh Nabi Musa ‘alaihissalam mengingati kembali peristiwa-peristiwa yang telah lalu, baik berupa nikmat atau azab.

Tidak ada ketentuan syariat tentang cara mengingati hari-hari Allah. Peristiwa Israk dan Mi’raj adalah termasuk dalam hari-hari Allah dan waktu yang paling baik bagi mengingati hari-hari Allah adalah pada waktu turunnya nikmat itu seperti mana kita kita bersyukur tatkala turunnya hujan atau mendapat anak.

Jumhur ulamak mengatakan bahawa peristiwa Israk dan Mi’raj berlaku pada 17 hari bulan Rejab, walau pun ada pendapat mengatakan tiada nas yang jelas menunjukkan waktu, tarikh, masa dan bulan Israk dan Mi’raj berlaku namun ia tetap tidak menjadi halangan dan larangan untuk kita memperingati peristiwa yang besar dan istimewa ini.

Peristiwa Israk dan Mi’raj merupakan peristiwa yang besar dalam Islam yang mengandungi banyak hikmah dan pengajaran bagi umat Manusia.

Rujukan: Muhadhir bin Haji Joll, Khilafiah:Persoalan & Penjelasan