“Kamu adalah umat terunggul (khayra ummah) yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang munkar dan kamu beriman kepada Allah”...(Ali 'Imran:110)
Friday, July 23, 2010
Wasiat Al-Banna, sebarkanlah salam!
Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang. - Hasan al-Banna.
Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu.
Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.
Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin.
"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - (Hadis riwayat al-Bukhari)
Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam.
Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza.
Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin
Diakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam."
Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya.
Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - (lmam at-Tirmizi).
Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam.
"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - (Surah an-Nisaa: 86)
'Budaya lepak' secara Islam
Budaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam!
Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya."
Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." (Muttafaq 'alaih).
Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan.
Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat.
Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid.
Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi.
Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam.
Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen.
Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan.
Fahri Abdullah al-Masri
Wednesday, July 7, 2010
Kaedah Asas Dalam Fiqh Muamalat
Kaedah asas dalam penentuan hukum urusan muamalat berkaitan harta menurut majoriti ulamak dan mazhab ialah:
"Hukum asas dalam urusan muamalat ialah kembali melihat tujuannya dan maslahat kebaikkan (yang boleh dicapai daripadanya)"
"hukum asal dalam semua perkara (kecuali dalam ibadat dan hubungan anatara lelaki dan wanita) adalah harus dilakukan kecuali ada dalil yang menyatakan pengharamannya."
Kaedah ini berdasarkan banyak nas dan Hadis Nabi S.A.W, antaranya:
maksudnya, "apa-apa yang dihalalkan oleh Allah, maka ia adalh halal, dan apa yang diharamkan oleh Allah, maka ia adalah haram. manakala untuk apa yang tidak disebut (halal atau haram) adalah diampunkan. Terimalah kemudahan dari Allah, dan sesungguhnya Allah tidak melupakan akan sesuatu apapun."
(H.R al-Bazzar, al-Tabrani drpd Abu Darda)
Terdapat pengecualian dalam kaedah "asal semuanya adalah harus selagi tidak dibuktikan hharam"
Dalam instrumen kewangan moden,ulamak kontemporari mempunyai pendapat yang berlainan, mereka menyatakan bahawa asal hukum transaksi kewangan di bank adalah haram selagi belum dibuktikan halal.
Ini kerana, instrumen kewangan moden di bank dan pelaburan lain kebanyakkannya adalah hasil ciptaan orang bukan Islam dan kapitalis atau dikenali sebagai sistem convensional yang menjadikan riba, gharar, dan judi sebagai asas dalam instrumen kewangan moden.
sistem konventional ialah mencipta lebih banyak wang dan memaksimumkan keuntungan untuk mereka tanpa mengira kesan kepada orang lain.
oleh itu, umat Islam wajib menggunakan perkhidmatan bank-bank Islam dan takaful. bank-bank Islam ini mempunyai pakar syariah yang merupakan penasihat syariah yang ditugaskan memantau aktiviti dan operasi bank Islam, mereka telah memikul tanggungjawab dunia dan akhirat. tanpa penasihat syariah, setiap individu bertanggungjawab sendiri atas penglibatannya dalam urus niaga yang haram.
Sumber: Panduan Perbankan Islam, Utz Zaharuddin Abd. Rahman
Tuesday, July 6, 2010
Mengenali Muamalat Dalam Islam
Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya.
Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariat Allah s.w.t yang melibatkan bidang ekonomi dan sosial Islam .
Muamalat yang dimaksudkan ialah dalam bidang ekonomi yang menjadi tumpuan semua orang bagi memperoleh kesenangan hidup di dunia dan kebahagian di akhirat.
segala harta yang ada di alam ini samada di muka bumi, dilaut atau di dasar adalah milik Allah s.w.t secara mutlak. Manusia disuruh memiliki harta yang di sediakan oleh Allah s.w.t melalui ilmu pengetahuan dan kemahiran yang di anugerahkan kepadanya. Mereka yang memiliki harta kekayaan di dunia adalah sebagai pemegang Peranan Muamalat
Sistem Muamalat Islam akan mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera. Muamalat yang di jalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan,pemerasan,ketidakadilan,memonopoli harta dan sebagainya,inilah matlamat muamalat dalam Islam demi kesejahteraan umat manusia.
Muamalat dalam Islam juga bertujuan menghindarkan berlakunya sebarang penindasan sesama manusia. Islam menegah umatnya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak baik yang akan menyusahkan pihak yang di tindas.
Muamalat Islam memastikan kegiatan ekonomi yang dijalankan bersih daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah s.w.t,kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang keji seperti riba’,rasuah,menipu atau sebagainya yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w : Maksudnya :
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya : Sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengumpulkan harta daripada punca haram kemudian dia sedekahkan harta itu,dia tidak akan mendapat pahala,bahkan dosa yang akan menimpanya”
(Riwayat Ibnu Khuzaimah,Ibnu Hibban dan Al-Halim)
Muamalat Islam dapat melahirkan manusia yang berakhlak mulia dalam menjalankan suatu amanat Allah s.w.t.
Sistem Muamalat Islam memudahkan manusia untuk merasai kurniaan Allah s.w.t dengan cara yang betul dan diredhainya. Sekiranya tiada peraturan bermuamalat,manusia akan melakukan apa saja untuk memperoleh harta yang banyak,mereka juga akan mengunakan harta mengikut nafsu tanpa memikirkan kepentingan orang lain.
Muamalat Islam berperanan Mengalakkan manusia supaya rajin bekerja untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga,masyarakat dan negara.
Juga berperanan begi melahirkan masyarakat yang saling bekerjasama, tolong –menolong dan bantu-membantu untuk kebaikan dan kebajikan bersama.ng amanat Allah s.w.t dan bertanggungjawab terhadap harta-harta tersebut.
Firman Allah S.W.T :
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ ذَلُولا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِنْ رِزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya : Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantau dan makanlah daripada rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dan ingatlah kepada Allah s.w.t jualah (tempat kembali kamu) di bangkitkan (maka hargailah nikmatnya dan takutilah kemurkaannya)
(Surah Al-Mulk Ayat 15)Mencari harta kekayaan amat di galakkan oleh Islam,kerana harta merupakan alat bagi mencapai kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Dengan harta tersebut seseorang itu dapat memenuhi keperluan hidupnya di samping dapat menunaikan tanggungjawabnya terhadap agama.Dalam mencari harta kekayaan,umat Islam di kehendaki menggunakan sebahagian daripada hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan untuk faedah bersama.
Bagi memastikan kegiatan ekonomi yang dilakukan oleh manusia dilaksanakan dengan baik dan mencapai keredhaan Allah s.w.t. Islam telah menggariskan beberapa peraturan bagi mencapai matlamat tersebut.
Subscribe to:
Posts (Atom)